Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin, Siti Fatimah Mohamed Anwar dan Hamzah Osman bhnews@bharian.com.my KUALA LUMPUR: Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan bagi sesi 2010, semalam, dengan merakam pelbagai ragam dan senario tangisan di hari pertama terutama membabitkan murid yang baru memasuki alam persekolahan. Walaupun pada awalnya, murid Tahun Satu begitu bersemangat untuk memasuki alam persekolahan, suasana kemudiannya bertukar ‘gamat’ apabila ada yang menangis dan tidak mahu masuk kelas. Pelbagai gelagat lucu dapat disaksikan, malah ada murid yang lari bersembunyi dan memeluk ibu bapa sambil menangis Mereka adalah sebahagian daripada hampir 90,000 murid Tahun Satu yang memulakan hari pertama persekolahan di tiga negeri itu, semalam. Daripada jumlah itu, seramai 31,202murid Tahun Satu bersekolah di Kelantan, Terengganu 21,115 orang dan 37,621 murid di Kedah. Di KOTA BHARU, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd Ghazali Ab Rahman berkata, sekalipun ada murid Tahun Sat...