Pelbagai ragam hari pertama bersekolah

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin, Siti Fatimah Mohamed Anwar dan Hamzah Osman
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan bagi sesi 2010, semalam, dengan merakam pelbagai ragam dan senario tangisan di hari pertama terutama membabitkan murid yang baru memasuki alam persekolahan.

Walaupun pada awalnya, murid Tahun Satu begitu bersemangat untuk memasuki alam persekolahan, suasana kemudiannya bertukar ‘gamat’ apabila ada yang menangis dan tidak mahu masuk kelas. Pelbagai gelagat lucu dapat disaksikan, malah ada murid yang lari bersembunyi dan memeluk ibu bapa sambil menangis

Mereka adalah sebahagian daripada hampir 90,000 murid Tahun Satu yang memulakan hari pertama persekolahan di tiga negeri itu, semalam. Daripada jumlah itu, seramai 31,202murid Tahun Satu bersekolah di Kelantan, Terengganu 21,115 orang dan 37,621 murid di Kedah.

Di KOTA BHARU, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd Ghazali Ab Rahman berkata, sekalipun ada murid Tahun Satu tidak mahu masuk kelas dan menangis, ibu bapa tetap tidak dibenarkan menemani anak kerana tidak mahu kehadiran mereka menjejaskan tumpuan murid.

Beliau berkata, 31,202 murid Tahun Satu memulakan persekolahan semalam, termasuk di sekolah yang dilanda banjir baru-baru ini.

Katanya, seramai 384,000 pelajar di semua 570 buah sekolah menengah dan rendah di negeri itu termasuk sekolah yang dilanda banjir baru-baru ini, memulakan sesi persekolahan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan mempunyai kelengkapan mencukupi.

Daripada jumlah itu, katanya, 32,495 orang adalah pelajar tingkatan satu.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 21,115 murid Tahun Satu memulakan persekolahan tahun ini di 347 Sekolah Kebangsaan (SK) seluruh negeri, termasuk dua Sekolah Pendidikan Khas.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri (JPNT), Ariffin Embong, berkata sesi pendaftaran murid Tahun Satu yang mula dibuka sejak tiga hari sebelum sesi persekolahan bermula berjalan lancar dan JPNT menyerahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah sama ada mahu mengadakan sesi orientasi murid Tahun Satu.

“Bagaimanapun, semua murid ini akan memasuki Program Transisi Tahun Satu selama tiga bulan pertama sebagai orientasi bagi memastikan mereka boleh menyesuaikan diri dengan alam persekolahan formal, sekali gus meningkatkan minat untuk belajar,” katanya.

Sementara itu, di KEDAH, Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abdul Rahman, berkata 37,621 kanak-kanak negeri itu memasuki Tahun Satu di sekolah bantuan penuh kerajaan, membabitkan 1,181 kelas manakala 37,502 memasuki Tingkatan Satu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TEMASYA SUKAN SEKOLAH 2012

SK Taman SEA bakal catat rekod