Serat batang pisang bawa kejayaan pelajar di Beijing

BUKIT MERTAJAM 12 April - Biasanya batang pisang dibuang begitu sahaja kerana tidak mempunyai sebarang kegunaan lain.

Namun, jika diproses mengikut kaedah tertentu seperti mencampurkannya ke dalam bahan kimia, ia boleh menjadi produk komersial.

Antaranya menjadikan ia sebagai bahan serat yang berupaya menyerap minyak apabila tumpah pada permukaan air termasuk di laut.

Penemuan itu berjaya dihasilkan oleh dua orang pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin di sini.

Mereka ialah Mas Adil Mas Rosemal Hakim, 18, dan Nurein Ardini Samsuri, 16 dibantu guru penasihat sekolah berkenaan, Go Soew Ann serta beberapa pensyarah Jabatan Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Lebih membanggakan, mereka memenangi tempat pertama pada pertandingan Reka Cipta Sains Remaja Beijing di China yang berlangsung dari 17 hingga 23 Mac lalu, menewaskan 1,268 rekaan lain.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Tarmizi Kamaruddin berkata, kejayaan tersebut begitu bermakna kerana ia disertai oleh pelajar dari seluruh dunia.

Antara negara yang turut serta adalah Amerika Syarikat, New Zealand, Singapura, Ukraine, Australia, Denmark, Jerman, Itali dan Korea Selatan.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka kerana telah menunjukkan semangat yang begitu tinggi.

"Saya harap pihak sekolah dapat mempatenkan hak cipta serta mengkomersialkan produk ini," katanya ketika meraikan pelajar tersebut di sini hari ini.
-Utusan 13/4/2010

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TEMASYA SUKAN SEKOLAH 2012

SK Taman SEA bakal catat rekod