Struktur binaan jambatan gantung runtuh tak kukuh

Oleh Anwar Hussin, Faiza Zainuddin dan Mohd Anwar Patho Rohman
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, siasatan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar yang mengorbankan tiga murid sekolah, bulan lalu, berpunca daripada pembinaan jambatan tanpa pelan yang lengkap.

Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan juga mendapati struktur binaan jambatan itu tidak kukuh.

"Pihak Kementerian Pelajaran akan menyediakan laporan terperinci dan dijangka akan dapat diumumkan selewat-lewatnya akhir bulan ini.

"Saya sudah mengarahkan pegawai kementerian di semua peringkat untuk mempertingkatkan langkah keselamatan murid dalam melaksanakan semua aktiviti sama ada di dalam atau luar sekolah," katanya menggulung pembahasan Bajet 2010.

Beliau mengulas mengenai tragedi jambatan runtuh di Kem Perkhemahan 1Malaysia pusat kokurikulum pelajaran daerah Kinta pada 26 Oktober lalu.

Muhyiddin berkata, ketika kejadian itu berlaku, guru, jurulatih dan pengawal keselamatan yang bertugas sudah melakukan sedaya upaya mereka untuk menyelamatkan murid tanpa memikirkan nyawa sendiri.

Sementara itu, menyentuh mengenai sekolah satu aliran dicetuskan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa bersifat terbuka dan menerima pandangan daripada semua pihak.

"Sistem pendidikan pelbagai aliran yang ada di negara kita adalah satu takdir sejarah yang hanya boleh diubah jika semua kaum bersedia menerima dan mengamalkan sistem satu aliran yang lebih bersepadu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan berpendapat sekolah pelbagai aliran memenuhi realiti masyarakat Malaysia.

"Hasrat kerajaan adalah untuk menambahbaikkan sekolah kebangsaan supaya menjadi sekolah pilihan semua kaum. Tidak guna untuk mengubah sistem yang sedia ada sehingga menimbulkan masalah sedangkan sistem sekarang adalah baik," katanya.

Menjawab pertanyaan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang mahu kerajaan melakukan pungutan suara bagi mengetahui pandangan majoriti rakyat berhubung isu itu, Muhyiddin berkata, ia tidak perlu.

Berhubung Laporan Ketua Audit Negara, beliau berkata, siasatan rapi sudah dijalankan terhadap kes dilaporkan dan pada peringkat dalaman kementerian, tindakan susulan diambil termasuk membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab.

"Bagaimanapun, saya menyangkal kenyataan Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendakwa 15 sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah dan Selangor diselenggarakan dengan peruntukan RM111.5 juta tapi tidak dilaksanakan dan 7.8 peratus kontraktor terbabit dibayar sepenuhnya.

"Sebenarnya jumlah penyelenggaraan hanya RM111,533 iaitu 7.8 peratus daripada RM1.43 juta jumlah keseluruhan. Pihak Audit dan Kementerian Pelajaran menjalankan audit susulan di sekolah itu, April lalu dan didapati sebahagian daripada kerja sudah dilaksanakan kontraktor terbabit," katanya
-B.Harian 12/11/2009

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TEMASYA SUKAN SEKOLAH 2012

SK Taman SEA bakal catat rekod