Pelajar lelaki dibelasah

Oleh Azida Shaharuddin
azida@nstp.com.my

JOHOR BAHRU: Akibat ejek mengejek, seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima sebuah sekolah di Skudai dekat sini, dibelasah abang juniornya hingga mengalami kecederaan di hidung, mata dan telinga.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.35 tengah hari Khamis lalu, mangsa, Awin Faris Mohd Nasir, 17, mendakwa lelaki berusia 20-an itu menampar, mencekik dan menumbuk mukanya dalam kawasan sekolah ketika dalam perjalanan pulang.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Ketika ditemui Berita Harian, Awin berkata, pada mulanya berlaku ejek mengejek antara beliau dan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat.

“Akibat tidak berpuas hati pelajar perempuan itu dipercayai menghantar SMS kepada abangnya mendakwa dia dipukul.

“Tidak lama selepas itu, abangnya datang ke sekolah dan terus muncul di hadapan saya sebelum sempat bertanya adakah saya memukul adiknya. Namun sebaik mengaku tidak berbuat demikian, lelaki berkenaan terus menampar, mencekik dan menumbuk saya tanpa usul periksa," katanya.

Awin berkata, beliau tidak mampu melawan lelaki itu, manakala rakan-rakannya pula sudah pulang lebih awal.

"Selepas teruk dibelasah, guru datang dan meleraikan pergaduhan. Apabila ditanya punca kejadian, lelaki berkenaan memaklumkan dia menerima SMS daripada adiknya, menyatakan 'dipukul' seorang pelajar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, adik lelaki itu yang turut dipanggil ke pejabat guru, menafikan dipukul sebaliknya mengaku membaling penyapu ketika adegan ejek mengejek itu.

Sementara itu, ibu mangsa, Fazidah Ab Malek, 38, berkata beliau tidak berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah yang bukan saja tidak memaklumkannya mengenai kejadian berkenaan, malah tidak membuat laporan polis.

"Saya hanya mengetahui kejadian hampir tiga jam kemudian selepas menerima panggilan telefon daripada anak ketiga yang mengikuti kelas sesi petang di sekolah sama.

“Sebaik mendengar Awin dibelasah, saya bergegas ke sekolah untuk melihat keadaannya namun dimaklumkan anak saya sudah pulang ke rumah," katanya.

Katanya, beliau kemudian membawa anaknya ke klinik swasta sebelum membuat laporan polis.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa keluarga pelajar perempuan berkenaan juga membuat laporan berhubung kejadian itu," katanya.

Fazidah berkata, selepas Awin mengadu mengalami kesakitan pada malam berkenaan, beliau terus membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi pemeriksaan lanjut.

“Selepas menjalani ujian sinar-X, saya terkejut apabila dimaklumkan hidung Awin retak dan berlaku pendarahan kecil di gegendang telinganya," katanya.

-Berita Harian 2/3/2010

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TEMASYA SUKAN SEKOLAH 2012

SK Taman SEA bakal catat rekod