Jawi tulisan nombor dua di dunia - Angkasa

TEMERLOH 5 Mei - Pelajar beragama Islam perlu menguasai tulisan jawi kerana ia merupakan tulisan nombor dua berpengaruh di dunia selepas rumi selain membantu mereka memahami al-Quran.

Timbalan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Fatah Abdullah berkata, langkah Kumpulan Utusan menerbitkan sisipan akhbar tulisan jawi dalam akhbar Utusan Malaysia perlu disokong bagi memastikan ia terus relevan dengan perkembangan semasa.

Sehubungan itu tegas beliau, tiada sebab jawi dikorbankan apabila rumi menjadi tulisan rasmi negara.

''Selain digunakan dalam al-Quran, kita patut berbangga kerana tulisan jawi diiktiraf di peringkat antarabangsa dan pernah menjadi tulisan perdagangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

''Ketika itu pedagang Eropah dan China turut menggunakan tulisan jawi semasa menjalani urusan perdagangan dengan orang Melayu Melaka, India dan juga negara-negara dari benua Afrika dan Semenanjung Arab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis taklimat program Koperasi Sekolah 2010 di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 100 guru dan guru besar daerah Temerloh, Maran dan Bera diberi penerangan mengenai konsep koperasi serta program sempena Hari Koperasi Sekolah pada 27 Jun hingga 3 Julai ini.

Sehubungan itu kata beliau, Angkasa menyokong usaha Kementerian Pelajaran membenarkan koperasi sekolah menjual akhbar tersebut di semua sekolah di seluruh negara.

Sementara itu Penolong Pengarah (Bahagian Seni, Sukan dan Kokurikulum Sekolah), Kamaruddin Ismail berkata, sebanyak 1,821 koperasi sekolah yang berada di bawah naungan Angkasa kini menjual akhbar Utusan Malaysia.

Menurut beliau, akhbar itu dijual pada harga istimewa di kedai koperasi di bawah program Akhbar@Sekolah.

Selain terdapat sisipan jawi katanya, banyak bahan yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia dapat membantu guru sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) seperti sisipan pendidikan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP).

''Malah, ADaP dapat dimanfaatkan oleh pelajar sebagai persediaan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.

"Sebab itu Kementerian Pelajaran memberikan kebenaran dan menyokong usaha koperasi sekolah menjual Utusan Malaysia kerana ia dilihat mampu meningkatkan keuntungan koperasi di samping meningkatkan pengetahuan pelajar," tambahnya.
-utusan

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TEMASYA SUKAN SEKOLAH 2012

SK Taman SEA bakal catat rekod